BI syarat wajib lulus SPM

Sumber: Berita Harian Online 9 Jun 2009
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun subjek itu diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini.

Beliau berkata, maklum balas daripada orang ramai akan membolehkan Kementerian Pelajaran membuat penilaian kerana pihaknya melihat isu itu dari sudut peningkatan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

“Setakat ini anak-anak kita yang belajar bahasa Inggeris masih boleh dapat sijil penuh walaupun gagal dalam bahasa Inggeris dan ini menjadi persoalan. Oleh itu, saya mahukan maklum balas daripada masyarakat supaya dapat memastikan pelajar luar bandar tidak menjadi mangsa disebabkan mereka tidak menguasai bahasa Inggeris.

“Walaupun hampir 70 peratus pelajar lulus bahasa Inggeris (di peringkat SPM setiap tahun), keputusan itu tidak memberi sebarang perbezaan kerana pelajar gagal juga mendapat sijil (penuh),” katanya selepas merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, semalam.
Beliau turut melancarkan buku `Kirkby: The Life and The Loves’ karya Dr Shaari Isa dan merasmikan pameran Maktab Kirkby anjuran Muzium Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Hadir sama presiden persatuan itu, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.

Muhyiddin berkata, pandangan umum diperlukan mengenai perkara itu kerana sebelum ini beliau beranggapan semua pelajar perlu lulus subjek bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh SPM.

“Saya ingatkan kita perlu lulus kerana kita belajar bahasa Inggeris, sebaliknya (baru saya dapat tahu) tidak perlu lulus.

“Saya cuma meletakkan persoalan adakah disebabkan itu pelajar tidak belajar bahasa Inggeris dengan serius atau adakah ia menyebabkan standard bahasa Inggeris menurun. Ia perlu dibincangkan semua pihak,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga mendapati bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa pengajaran tatabahasa, sebaliknya pelajar hanya mempelajari ‘Communicative English’ bagi membolehkan mereka berhubung dengan orang lain.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak membuat sebarang keputusan mengenai isu itu kerana mahu memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi pandangan sebelum penilaian dan langkang seterusnya diambil.

“Kedua-dua isu ini perlu diteliti bagi membolehkan pelajar lebih serius menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menyifatkan Maktab Kirkby sebagai ‘miniature Malaya’ yang menyemai semangat 1Malaya dan Malaya Boleh, apabila guru lepasan institusi itu pulang ke tanah air untuk mengajar di seluruh negara.

Katanya, guru lepasan Maktab Kirkby menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan profesion perguruan di negara ini dan ia dibuktikan dengan pemilihan empat bekas pelajar Maktab Kirkby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dari 1988 hingga 1998.

Pandangan Saya

1. Cadangan ini adalah baik dan boleh membantu meningkatkan pencapaian BI dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih menyeluruh dan bebas perlu diadakan sebelum perkara ini dilaksanakan.

2. Pihak KPM juga perlu menyediakan guru BI terlatih yang mencukupi di semua sekolah di negara ini. Semua sekolah hendaklah dilengkapkan dengan makmal bahasa moden dan guru dibekalkan kaedah mengajar yang paling sesuai dan berkesan.

2. Cadangan ini juga lebih baik dan lebih tepat berbanding dengan pelaksanaan PPSMI dalam meningkatkan penguasaan BI dalam kalangan pelajar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s