Shura gesa kerajaan mansuhkan PPSMI

Sumber: Berita Harian Online 10 Jun 2009

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) menggesa kerajaan memansuhkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia akan menjejaskan kedaulatan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Setiausaha Agung Shura, Mohd Azmi Abd Hamid, berkata sejak PPSMI dilaksanakan pada tahun 2002, ia sudah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

“Shura berpendapat PPSMI dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang terperinci dan tanpa mengambil pendapat daripada pakar bahasa tempatan,” katanya.

Mohd Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar Memorandum Bantahan terhadap PPSMI kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah di sini, hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Engku Ibrahim kira-kira jam 11 pagi.

Mohd Azmi berkata, kerajaan dan Kementerian Pelajaran tidak boleh memberi alasan untuk meneruskan PPSMI berdasarkan kepada kemerosotan pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Cadangan supaya seseorang calon perlu lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga akan menyekat peluang pelajar di bandar dan luar bandar untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti, katanya.

“Pada pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, ia tidak menjadi masalah, tetapi apa akan berlaku kepada pelajar yang tidak menguasai bahasa Inggeris?,” tanya Mohd Azmi.

Beliau berharap dengan penyerahan memorandum itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu itu akan mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja di seluruh negara. – Bernama

Pandangan Saya:
Saya menyokong penuh PPSMI dimansuhkan. Terdapat banyak cara atau kaedah lain (tanyalah pakar bahasa) yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan penguasaan BI dalam kalangan pelajar.

4 responses to “Shura gesa kerajaan mansuhkan PPSMI

  1. Pelajar Cikgu Hussen yang amat menggemari Matematik Tambahan =)

    Cadangan menteri pelajaran agar calon SPM wajib lulus Bahasa Inggeris sememangnya menjadi alternatif yang lebih baik daripada pelaksanaan PPSMI yang pada asalnya bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris.

    Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara dan kaedah lain untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

    Namun begitu, bukankah melalui subjek kritikal seperti Sains dan Matematik akan menyediakan para pelajar untuk menghadapi dunia luar yang mancabar dan berkait rapat dengan sains dan teknologi? Kedua-dua mata pelajaran ini amat penting untuk mendapat tempat di mana-mana kolej atau institusi pengajian tinggi. Hal ini akan menjadi dorongan kepada pelajar untuk memahami serta menguasai subjek ini dengan bersungguh-sungguh.

    Tetapi sekiranya PPSMI dimansuhkan, tidakkah ini merupakan suatu langkah kebelakang dan tidak ke hadapan? Memandangkan PPSMI telah dilaksanakan selama 6 tahun, adakah berbaloi untuk mempertaruhkan masa depan pelajar yang telah melalui PPSMI?

    Dalam tempoh ini, sesetengah pelajar telah mempelajari mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia. Ketika PPSMI dilaksanakan, mereka menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran. Pemansuhan PPSMI bermaksud mereka harus belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia sekali lagi. Harus diingatkan bahawa keputusan berhubung isu ini memberi kesan bukan sahaja kepada pendidikan rendah dan menengah tetapi juga di peringkat pengajian tinggi.

    Apakah pandangan anda?

  2. hussenhmhuda

    Pada pandangan saya, pemansuhan PPSMI bukan bermakna langkah ke belakang. Pelajar tidak perlu belajar sekali lagi, melainkan mereka tidak memahami konsep sebenar S&M. Sebelum pelaksanaan PPSMI, negara kita ramai menghasilkan ilmuan dan pakar S&M. PPSMI tercetus disebabkan kelemahan dalam penguasaan BI. Sepatutnya kurikulum BI yang perlu diteliti dan dikaji. Ibarat kalau sakit jantung, mesti jumpa pakar jantung. Bukannya jumpa pakar otak.

    Seperkara lagi, timbul pula isu BI wajib dalam SPM. Kenapa isu ini boleh timbul? Pada pandangan saya, pencapaian dan penguasaan BI dalam kalangan pelajar masih pada tahap yang rendah walaupun PPSMI telah dilaksanakan. Hal ini bermakna PPSMI tidak membantu. Justeru, KPM merasakan perlu buat sesuatu terhadap mata pelajaran tersebut. Maka tercetuslah isu BI wajib dalam SPM.

  3. Syukur Allah makin buka hati ulama memahami isu bahasa ini bukan sekadar bahasa malah lebih daripada itu…………………

  4. Pelajar Cikgu Hussen yang amat menggemari Matematik Tambahan =)

    Terima kasih atas pandangan cikgu.

    Saya ingin bertanya tentang pandangan cikgu bahawa pemansuhan PPSMI bukan bermakna langkah ke belakang? Pemansuhan sepenuhnya PPSMI jelas menunjukkan bahawa kita berbalik kepada keadaan asal, seolah-olah pelaksanaan program ini tidak mendatangkan apa-apa kesan dan disia-siakan. Adakah cikgu berfikiran terbuka dalam menerima penambahbaikan kelemahan PPSMI yang sedia ada berbanding dengan memansuhkannya begitu sahaja?

    Selain itu, saya ingin menjelaskan kenyataan berhubung ‘belajar sekali lagi’. Di sini, saya tidak bermaksud mempelajari Sains dan Matematik sekali lagi (dari mula) menggunakan Bahasa Malaysia. Apa yang ingin saya sampaikan ialah pelajar yang telah melalui PPSMI akan berbalik semula kepada medium pembelajaran Bahasa Malaysia. ( BM, kemudian BI, kemudian BM LAGI) Saya percaya keadaan ini merunsingkan para pelajar yang pada akhirnya menjadi mangsa isu ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s