Kaedah pengajaran bahasa Inggeris patut dirombak

Sumber: Berita Harian Online 18 Jun 2009 (Ruangan SURAT)

APABILA Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa masyarakat memberi pandangan sama ada mewajibkan pelajar lulus subjek bahasa Inggeris bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sebaliknya, saya terpaksa mencari semula surat yang dihantar kepada media mengenai isu berkenaan.

Dalam surat pada 5 Ogos 2002, saya menimbulkan beberapa persoalan mengenai langkah Kementerian Pelajaran mengumumkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kebimbangan saya itu kerana sebilangan besar murid yang memasuki Tahun Satu tidak mendapat pendedahan kepada bahasa Inggeris pada peringkat tadika.

Sejak pelaksanaan dasar itu pada 2003 terutama dua tahun terakhir ini memperlihatkan perbincangan hangat mengenai isu berkenaan. Wujud pelbagai pro dan kontra berhubung isu berkenaan ditimbulkan.

Selepas mempertimbangkan hujah dikemukakan kedua-dua pihak, saya masih rasakan sepatutnya dasar PPSMI sepatutnya tidak dilaksanakan. Selain masalah pendedahan bahasa Inggeris kurang pada peringkat tadika, empat alasan lain yang menunjukkan pelaksanaannya bukan satu polisi yang tepat diambil kerajaan.

l Pertama: Enam tahun terakhir pelaksanaannya memperlihatkan ramai guru tidak mampu mengajar dua mata pelajaran berkenaan kerana mereka juga berdepan masalah memahami dan menguasai bahasa itu;

l Kedua: Bukti menunjukkan pembelajaran subjek itu dalam bahasa Inggeris tidak menunjukkan kesan jelas terhadap penguasaan pelajaran. Dua subjek itu ternyata tidak mampu meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa itu;

l Ketiga: Contoh menunjukkan pelajar ijazah pertama dan pasca ijazah dari seluruh dunia yang tidak belajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris sama ada sekolah rendah atau menengah masih mampu menguasai idea yang kompleks dalam jurnal saintifik dalam bahasa Inggeris kerana mereka menguasai ilmu bahasa berkenaan, dan

l Keempat: Kuasa ‘matematik’ dunia seperti Russia, Vietnam dan China, menggunakan bahasa ibunda bagi mengajar mata pelajaran berkenaan.

Ini bukan bermakna bahasa itu tidak penting. Sebagai bahasa ilmu dunia, kita perlu meningkatkan mutu bahasa itu di sekolah dan universiti kita. Ini bermakna, kaedah pengajaran bahasa itu perlu dirombak.

Bahasa Inggeris komunikasi yang diperkenalkan di sekolah di negara ini sejak 30 tahun lalu, adalah contoh tindakan meniru buta tuli teknik digunakan untuk mengajar pelajar asing di dalam masyarakat bahasa tuturnya bahasa Inggeris seperti United Kingdom. Ia perlu diganti dengan mengambil kaedah lebih kondusif dengan persekitaran sosiolinguistik kita.

Sebagai pilihan, cadangan pakar pendidikan, Prof Isahak Haron boleh dipertimbangkan iaitu ‘Bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content) yang memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan semangat budaya penggunaan bahasa.

Pertimbangan juga perlu diberikan untuk meningkatkan kualiti bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih. Adik perempuan saya menjadi pensyarah bahasa Inggeris di maktab perguruan tempatan, dan sebelum bersara, beliau merungut mengenai penguasaan lemah bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih yang akan ditempatkan di sekolah.

Sepatutnya, hanya guru pelatih yang mampu menguasai bahasa Inggeris dilatih untuk menjadi guru Inggeris di sekolah rendah dan menengah pada masa depan.

Dalam surat kepada media pada 2002, saya cadangkan radio, televisyen dan teknologi komunikasi yang baru boleh memainkan peranan penting dalam pembelajaran bahasa. Memandangkan radio dan televisyen meliputi kawasan luas di negara ini, ia boleh digunakan untuk membuka peluang lebih luas bagi pembelajaran bahasa Inggeris.

Pelajar dari luar bandar dan bandar boleh mendapat manfaat daripada program yang disiarkan. Bagi saya, memfokuskan pelbagai langkah bagi meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah kita adalah lebih penting pada peringkat ini berbanding mewajibkan pelajar lulus Inggeris SPM.

Langkah itu jika diteruskan akan memberi kesan buruk kepada majoriti pelajar yang tidak mampu menguasai bahasa berkenaan. Kita meningkatkan penguasaan bahasa itu di sekolah dan membuat penilaian yang jelas sebelum mengambil langkah selanjutnya.

DR CHANDRA MUZAFFAR,
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.

Pandangan Saya:
Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Chandra Muzaffar yang dikemukakan dalam surat ini. Empat alasan yang diberikan berkaitan PPSMI amat tepat. Ibarat seseorang yang mengalami sakit jantung, berjumpa dengan pakar otak. Sememangnya pesakit tersebut berjumpa doktor, tetapi tindakannya berjumpa doktor atau pakar otak adalah tidak tepat. Sepatutnya pesakit berkenaan berjumpa dengan pakar jantung. Demikianlah juga dengan isu BI dan PPSMI. Masalah BI tidak akan selesai melalui PPSMI. PPSMI tidak mampu membantu meningkatkan penguasaan BI dalam kalangan pelajar. Malah menimbulkan banyak isu termasuk masalah penguasaan Sains dan Matematik yang semakin menurun. Sepatutnya kaedah pengajaran BI patut dirombak, bukannya melaksanakan PPSMI. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s