Guru bukan sekadar mendidik

Sumber: Utusan Online 07/12/2009

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan ‘Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka’, adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan ‘1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s