Category Archives: PPSMI

‘Spare Sabah, S’wak on BM’

Sumber: http://www.dailyexpress.com.my (Published on: Thursday, April 01, 2010)

Kota Kinabalu: The Association of Sabah National Type Chinese School Management Committee (Dong Lian) has urged the Education Ministry to reconsider its decision to teach secondary school students Mathematics and Science in Bahasa Malaysia starting next year, especially government-aided schools in Sabah and Sarawak.

The call was among resolutions passed at its annual meeting (AGM) at the Kota Kinabalu High School, on Saturday.

In a statement, Wednesday, Dong Lian President, Datuk Wong Yit Ming, said this was in view of the fact that Sabah and Sarawak are different from Peninsular Malaysia as English is still widely used by the government departments and agencies, and even the State Legislative Assembly and courts.

“Besides, a majority of the parents whether bumiputera or non-bumiputera like their children to better master the English language as the leading and most important international language,” he said.

He added it was proven during the British colonial era as well as in the first 10 years after the formation of Malaysia that teaching of Maths and Science in one’s mother tongue at primary school level and in English at secondary school level produced commendable results.

This is also one way of uplifting the standard of the English language among students. “Sabah and Sarawak have always enjoyed a special privilege of using English, when Malaysia was formed in 1963,” he noted.

Towards this end, he said Dong Lian had proposed that the Education Ministry look into the possibility of having two Secondary Education Systems, one using Bahasa Malaysia for teaching of Mathematics and Science and another using English.

The other resolution passed urged the Education Department to reconsider the teaching of English in the Chinese Primary Schools from 60 minutes to 180 minutes next year, instead of 120 minutes as proposed by the Education Department.

Wong pointed to the fact that the Education Minister, Tan Sri Muhyiddin Yassin, had promised to allocate more English lessons after the Education Department decided to abolish the unpopular teaching of Mathematics and Science in English in Chinese Primary Schools.

Jadual Peralihan Dasar PPSMI Ke MBMMBI

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia (2010)

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 2 / 2010

PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

KP(BSPSH-SPDK)201/005/01(38)
25 Januari 2010
Semua Pengarah Pelajaran,
Jabatan Pelajaran Negeri,

Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 2 / 2010:
PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

2. Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

3. Pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.

4. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar PPSMI ke MBMMBI mulai tahun 2010 adalah seperti berikut:

Mulai 2010
Sekolah rendah: P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.
Sekolah menengah: P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.

Mulai 2011
i) P&p Sains dan Matematik Tahun Satu di SK menggunakan Bahasa Malaysia.

ii) P&p Sains dan Matematik Tahun Satu di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Sekolah Menengah: P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris.

Mulai 2012
i) P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SK menggunakan Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6.

ii) P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6.

Sekolah menengah: P&p Sains dan Matematik Tingkatan Satu dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia.

P&p Sains dan Matematik Tingkatan Empat boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau Bahasa Malaysia sehingga kohort tersebut tamat Tingkatan 5.

Sila rujuk kepada Lampiran 1 dan Lampiran 2 bagi jadual peralihan dasar PPSMI ke dasar MBMMBI.

5. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan Enam Rendah, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi diteruskan dalam Bahasa Inggeris.

6. Penyediaan soalan-soalan peperiksaan awam bagi kelompok mata pelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar adalah seperti yang berikut:

Jenis Peperiksaan
Penggunaan Bahasa pengantar

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
Dwibahasa sehingga 2015

Penilaian Menengah Rendah (PMR)
Dwibahasa sehingga 2013

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Dwibahasa sehingga 2015

7. Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Pengetua dan Guru Besar di bawah pentadbiran Y. Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan.

Sekian. Terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

s.k. 1. YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

2. YB Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia

3. YB Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia

4. Ketua Setiausaha
Kementerian Pelajaran Malaysia

5. Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Pelajaran Malaysia

6. Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia

7. Ketua-Ketua Bahagian
Kementerian Pelajaran Malaysia

8. Penasihat Undang-Undang
Kementerian Pelajaran Malaysia

9. Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Pelajaran Malaysia

Pemansuhan PPSMI & Pelaksanaan MBMMBI

KENYATAAN AKHBAR Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM, KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH

Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:

(i) P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).

(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:

(a) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(b) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

(c) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.

(d) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.

(e) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(f) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

PENTAKSIRAN
(a) Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

(b) Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.

(c) Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.

Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.
Jadual Pelaksanaan MBMMBI dan mekanisme “soft landing” adalah seperti yang dilampirkan.

MBMMBI

2012 atau 2010?

PPSMIMenurut Menteri Pelajaran Malaysia, PPSMI akan dimansuhkan mulai tahun 2012. Pemansuhan ini adalah berdasarkan kajian terperinci yang membuktikan PPSMI gagal mencapai matlamatnya. Persoalannya sekarang, mengapa tahun 2012? Kenapa tidak serta-merta atau tahun 2010? Dasar yang sudah diakui gagal dan banyak menimbulkan kesan negatif patut dihentikan serta-merta.

Pada pandangan peribadi saya, PPSMI patut dimansuhkan serta-merta. Ibarat seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan, contohnya mencuri, patut hentikan perbuatan itu dan bertaubat dengan segera. Tak payah tunggu beberapa hari, minggu, bulan atau tahun.

Demikianlah juga dengan PPSMI. Kalau kita tunggu hingga tahun 2012, bermakna kita ‘mengorbankan’ murid tahun 2010 dan 2011. Dah tahu PPSMI banyak mendatangkan kesan negatif, kenapa ‘dihidangkan’ lagi kepada generasi baru ini? Cukuplah dengan generasi 2003 hingga 2009.

Harapan saya, KPM akan segera mengeluarkan pekeliling yang berkaitan dengan PPSMI dan pemansuhan ini berkuatkuasa serta-merta.

Alhamdulillah… PPSMI dimansuhkan

Sumber: Berita Harian Online 8 Julai 2009 (Ruangan MUTAKHIR)

Kabinet lulus Matematik, Sains dalam Bahasa Melayu

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaannya bermula berperingkat mulai 2012 bagi Tahun Satu dan Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.

Beliau berkata, bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Serentak itu, katanya, kerajaan memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan perlu dimantapkan lagi.

“Pelaksanaan keputusan Kabinet bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada 2012.

“Ia bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan Kabinet itu di sini.

Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003.

Katanya, hasil kajian itu menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

“Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, di mana guru mengajar pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,” katanya.


ULASAN SAYA:

Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengumuman ini ibarat bonus bagi diri saya dan isteri (guru Matematik) serta semua individu yang membantah PPSMI. Syabas dan tahniah…

PPSMI diumum esok

Sumber: Utusan Malaysia Online 07/07/2009 6:03pm (Ruangan Terkini)

PAGOH 7 Julai – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan keputusan kerajaan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok. – Utusan

Dilema hala tuju PPSMI

Sumber: Utusan Malaysia Online 7 Julai 2009 (Ruangan RENCANA)
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
norainirazak@utusan.com.my

ESOK Kabinet dijangka mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar itu penting untuk menentukan masa depan pendidikan negara dan sejauh mana persediaan rakyat untuk menembusi ‘pagar’ globalisasi menerusi penguasaan bahasa asing.

Sememangnya cabaran utama pelaksanaan PPSMI adalah penghayatan konsep ‘bahasa jiwa bangsa versus tuntutan bahasa globalisasi’.
Itu dilema PPSMI. Matlamat dasar itu diperkenalkan menerusi keputusan Kabinet pada 19 Julai 2002 sangat relevan.

Globalisasi membuka pintu saingan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan dengan luas. Salah satu cara untuk menembusi cabaran itu adalah menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang diguna pakai secara meluas di serata dunia.

Mekanismenya adalah sistem pendidikan – yang pasti melibatkan mata pelajaran penting di mana para pelajar mahu tidak mahu akan bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris untuk memastikan mereka lulus.

Sebab itu mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi pilihan. Faktor utama, kedua-dua mata pelajaran adalah sumber ilmu yang berkait rapat dengan globalisasi. Menggunakan bahasa Inggeris tentunya memudahkan penguasaan ilmu yang kelak diguna pakai untuk menembusi cabaran hebat dunia globalisasi.

Oleh kerana penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini masih rendah, maka PPSMI dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk memperbaiki keadaan itu. Ini kerana sekadar memberi galakan tidak mencukupi terutama di kalangan murid luar bandar yang tidak terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris.Tanpa ‘paksaan’, pelajar-pelajar luar bandar tidak akan terdorong untuk menguasai bahasa Inggeris sekali gus usaha untuk menguasai bahasa tersebut akan diperlekehkan.

Namun PPSMI yang menjadi platform untuk membentuk kumpulan rakyat yang fasih berbahasa Inggeris dan mampu meraih ilmu moden berhadapan dengan cabaran lain yang lebih besar. Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan proses pengajaran tidak dapat dilangsungkan secara cekap dan berkesan. Masalah kekurangan tenaga pengajar paling parah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sedangkan murid-murid di sana amat rendah penguasaan bahasa Inggerisnya. Mereka tidak ada kemudahan kelas tambahan. Pusat-pusat tuisyen tidak bercambah di kawasan itu.

Kekurangan itu menyebabkan PPSMI yang diakui besar manfaatnya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan luar bandar.
Kajian pihak tertentu untuk menilai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru sains dan matematik menunjukkan peratusan yang kurang memberangsangkan. Lebih merunsingkan apabila ada kalangan guru-guru berkenaan yang tidak mencapai kredit dalam bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Tentunya dapatan kajian pihak tertentu itu menimbulkan kebimbangan tentang masa depan murid-murid yang dibimbing oleh guru kategori berkenaan. Ditakuti Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa bercampur-aduk iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi sampai masa peperiksaan, pelajar terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.
Akan timbul kecelaruan ketika menjawab sehingga memberi kesan kepada keputusan peperiksaan. Dalam hubungan ini, keputusan peperiksaan utama selepas genap enam tahun PPSMI dilaksanakan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan penurunan.
Bagi mata pelajaran Sains, pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencatatkan penurunan ketara dan yang terendah berbanding pencapaian pada 2003 hingga 2007. Keputusan yang sama dicatatkan bagi mata pelajaran Matematik.

Selain masalah guru-guru yang belum bersedia mengajar kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, cabaran lain PPSMI adalah kebimbangan dasar tersebut akan membunuh Bahasa Kebangsaan.
Banyak pihak resah apabila PPSMI dipersetujui. Mereka memegang kepada Perlembagaan dan Laporan Razak yang menetapkan bahasa Melayu adalah segala-galanya dalam bidang pendidikan.
Apatah lagi beberapa dasar menyusul selepas itu bertujuan memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah merangkumi perundangan, pentadbiran dan ekonomi.
Lebih daripada itu, suara-suara yang menyanggah PPSMI membangkitkan perihal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dalam bidang pendidikan.

Pihak yang membantah melihat PPSMI bercanggah dengan dasar kerajaan sebelum 2002 sehingga ke satu peringkat mereka percaya bahawa bahasa kebangsaan akan terpinggir akibat PPSMI.
Sememangnya sukar hendak dibentangkan hujah-hujah bahawa bahasa Melayu akan terus menduduki takhtanya walaupun PPSMI diteruskan.
Di situ satu lagi dilema PPSMI – apabila banyak pihak menyokong lantaran sedar manfaatnya bukan sedikit – banyak juga yang menentang kerana bimbang bahasa Melayu terpinggir.
Dan untuk menyediakan jawapan yang memuaskan kedua-dua pihak tentunya tidak mudah kerana masing-masing bertegas untuk tidak menerima apa juga alasan yang dikemukakan.
Berkumandang juga sejarah penguasaan ilmu yang membentuk tamadun awal dunia seperti tamadun Islam dan Yunani.
Kecemerlangan tamadun-tamadun hingga mencapai taraf yang tinggi dicipta menerusi bahasanya sendiri. Tamadun Islam satu ketika dulu begitu terserlah sehingga mampu menyebarluaskan bahasa Arab itu ke seluruh dunia.
Begitu juga bangsa-bangsa lain yang mencapai taraf negara maju menggunakan bahasa ibundanya sendiri seperti Jepun, Perancis, Korea dan Jerman. Betapa kedua-dua mata pelajaran di negara-negara seperti itu tidak diajar dalam bahasa Inggeris tetapi mereka mampu bangkit mencipta sejarah tersendiri. Tradisi mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di negara-negara berkenaan berlangsung sehingga ke hari ini.
Hujah-hujah tersebut dibentangkan satu per satu oleh kumpulan yang menentang PPSMI. Mereka percaya tidak salah berkiblatkan Jepun, Perancis atau Korea untuk ‘menceroboh’ dunia globalisasi.
Apa pun hujah kedua-dua pihak, terpikul di bahu Kementerian Pelajaran untuk memastikan keputusan yang akan diumumkan esok menguntungkan semua pihak.
Menolak PPSMI maknanya mengorbankan tempoh percubaan selama enam tahun yang sedikit sebanyak telah menampakkan hasilnya biarpun tidak menyeluruh.
Mengetepikan PPSMI juga bermakna segala persediaan dan prasarana yang diusahakan enam tahun lalu perlu menjalani pengubahsuaian semula.
Buku-buku teks dan persiapan minda pelajar serta ibu bapa yang telah dipupuk untuk mempercayai bahawa sains dan matematik mesti dipelajari dalam bahasa Inggeris juga terpaksa disusun semula.
Jika itu pilihan kerajaan, maka satu kaedah lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris terutama dari segi penguasaannya di kalangan pelajar mesti dilaksanakan. Bahasa Inggeris tidak boleh ditolak mentah-mentah. Manfaat bahasa itu amat luas dan usaha untuk memastikan pelajar-pelajar menguasai bahasa tersebut pada tahap yang terpuji perlu terus digerakkan.
Hakikatnya jika PPSMI dirombak ia bukan bermakna kemenangan kepada satu pihak. Ia mesti memberi kemenangan kepada semua. Begitu juga jika PPSMI diteruskan. Ia bukan bertujuan mendaulatkan bahasa globalisasi tetapi ke arah mempersiap-sediakan rakyat untuk berhadapan dengan cabaran yang tidak berkesudahan.


ULASAN SAYA:

Semoga PPSMI dimansuhkan.

Apa keputusan isu PPSMI?

Sumber: Utusan Malaysia Online 5 Julai 2009 (Ruangan RENCANA)

Difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran akan membentangkan kajian berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Kabinet, Rabu ini.

Apakah PPSMI akan diteruskan atau dihentikan? Inilah yang menjadi tanda tanya pelbagai pihak terutama kalangan ibu bapa dan guru-guru lebih-lebih lagi perdebatan dan kemelut mengenainya sudah lama diperkatakan.

Banyak sesi lempas otak, analisis dan pengumpulan maklum balas daripada semua golongan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran berhubung pencapaian dan hala tuju PPSMI, yang dilaksanakan pada tahun 2003.

Reaksinya banyak pihak membantah dan ada juga yang menyokong pelaksanaan tersebut dengan hujah masing-masing. Inilah antara cabaran awal Muhyiddin sejak mengambilalih teraju Kementerian Pelajaran dan isu itu kembali ketara diperkatakan terutama dari segi kekangan, kelemahan, cabaran dan realiti. Walaupun isu PPSMI dilihat begitu kompleks dan kusut, beliau sudah bersedia membereskannya.
Malah Muhyiddin kelihatan yakin untuk mencari formula baru sebagai jalan keluar yang akhirnya dapat memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Awang percaya kerajaan akan mengambil kesempatan kajian semula itu untuk melakukan transformasi meliputi penambahbaikan yang signifikan.

Apa reaksi yang mungkin dijangkakan? Sudah tentu apa sahaja keputusan Kabinet berdasarkan cadangan Kementerian Pelajaran akan mengundang gelombang reaksi yang bukan kecil sama ada yang menyokong mahupun yang membantah.

Berdasarkan sumber-sumber yang menjalankan kajian tersebut, lebih banyak pihak mahu PPSMI dirombak kerana pelaksanaannya tidak mencapai matlamat yang disasarkan, kekurangan guru terlatih yang cukup kritikal dan pencapaian para pelajar luar bandar yang terus keciciran dalam subjek Matematik dan Sains.

Apakah ini bermakna Kementerian Pelajaran akan menghentikan PPSMI dan menampilkan pakej atau model baru yang lebih baik? Awang tidak pasti, sama-samalah kita tunggu pengumumannya nanti. Apa pun, keputusan perlu dibuat dengan semua pihak seharusnya bersikap realistik.

ULASAN SAYA:

Saya pun sudah tidak sabar menantikan keputusannya. Lihat sajalah artikel dalam blog saya ini, banyak berkaitan dengan PPSMI. Secara peribadi saya menolak PPSMI. Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Apa kurangnya Bahasa Melayu atau Malaysia dalam pengajaran Sains dan Matematik? Alangkah baiknya kerajaan, melalui KPM, fokus kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam memperbaiki sukatan dan kaedah pengajaran untuk meningkatkan pencapaian BI dalam kalangan pelajar. Bukannya melalui dasar PPSMI yang banyak mengundang masalah yang sehingga ke hari ini masih belum selesai.

80 peratus peguam guna Bahasa Melayu di mahkamah

Sumber: Berita Harian Online 3 Julai 2009 (Ruangan Mutakhir)

KUALA LUMPUR: Hampir 80 peratus daripada 13,000 peguam di negara ini kini menggunakan Bahasa Melayu ketika mengendalikan kes di mahkamah, menurut Majlis Peguam Malaysia (MPM) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu MPM, Muhammad Hasif Hassan, berkata arah aliran penggunaan bahasa kebangsaan itu meningkat sejak lima tahun lalu walaupun menghadapi kesukaran dari sudut istilah, tatabahasa dan terjemahan.

“Walaupun penterjemahan adalah sukar, istilah, tatabahasa dan laras bahasa undang-undang adalah berbeza dengan bahasa seharian, kami yakin dapat menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya tidak lama lagi.

“Bagi meningkatkan kemahiran, MPM akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengadakan kursus Bahasa Melayu untuk semua peguam,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz di sini, hari ini.

Muhammad Hasif berkata, kursus itu akan memberi ruang kepada peguam mempelajari istilah, tatabahasa dan laras bahasa yang betul supaya penghujahan kes di mahkamah berjalan lebih lancar dan jelas.

Katanya, kursus itu harap dapat dimulakan sebelum akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Termuzi berkata, selain menyediakan sukatan kursus, DBP juga akan bekerjasama dengan MPM dalam membantu menterjemahkan istilah undang-undang ke dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan peguam mengikuti pengajian mereka dalam bahasa Inggeris tetapi inisiatif mereka untuk menggunakan bahasa Melayu perlu dipuji dan disokong. – Bernama

Ulasan Saya:
Tahniah kepada para peguam kerana memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini mencerminkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai kualitinya yang tersendiri dan mampu menjadi bahasa ilmu dan komunikasi yang terbaik.

Menyentuh isu PPSMI, maka tidak hairanlah para pejuang bahasa dan ahli akademik menentang pelaksanaan PPSMI. Mereka amat yakin Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu yang terbaik. Tambahan pula banyak kajian yang merumuskan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah ‘gagal’. Justeru, pemansuhan PPSMI bukanlah satu langkah ‘tidak mahu maju’ atau ‘ketinggalan zaman’. Pemansuhan PPSMI mencerminkan Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang terbaik di negara ini.