Monthly Archives: December 2009

Mandi Bersama Ikan


Berkunjunglah ke Kg. Nalapak, Ranau (berdekatan dengan Ladang Sabah Teh). Jangan lepaskan peluang berenang bersama ikan di sungai.

PERUTUSAN AWAL TAHUN SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2010 oleh KPPM

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.

Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato’ Usman bin Awang (1979), “Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

Madu Lebah

Fiman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah An-Nahl (Ayat 68 – 69) yang bermaksud: Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang di gunung, di pohon serta tempat-tempat yang dibangun manusia. Kemudian makanlah segala macam buah-buahan, dan tempuhlah hidupmu dengan mudah.” Dari perut lebah itu keluar berbagai macam minuman yang beraneka warna sebagai penawar bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda kekuasan Allah bagi orang yang mahu berfikir.

Madu adalah makanan yang mulia. Menurut Abdul Karim (1994: 180), madu adalah:
(a) makanan yang memberi tenaga
(b) makanan yang bersih
(c) makanan yang sedia untuk dihidangkan
(d) makanan istimewa bagi orang lemah dan sakit
(e) makanan yang disukai pinggang dan hati
(f) makanan yang terjamin khasiat dan keselamatan
(g) makanan yang digemari
(h) makanan asli
(i) mudah diperolehi
(j) makanan yang tidak busuk
(k) makanan yang mengenyangkan

Menurut satu kajian yang dilakukan di Perancis, 1 kg madu mempunyai tenaga yang sama dengan 3.5 kg daging atau 12 kg sayur-sayuran (Abdullah, 1998:69). Lebih 68 negara termasuk Malaysia, mengiktiraf dan mengakui keistimewaan dan keunikan lebah dan madu dalam memberi kesihatan kepada manusia.

Madu Khaula boleh didapati di:
1. Kedai Runcit Ust. Ku Othman, Plaza Likas Bangunan Mara
2. Kedai Stop & Shop, Ground Floor, KK Plaza.
3. Kedai Era Edar (Homeopati), Tingkat 1 Wisma MUIS.
4. Kedai Ubat Siddiq, Putatan (berhampiran dengan Servay).
5. Atau hubungi terus penulis melalui blog ini.

Maklumat lanjut, sila klik di sini.

Rujukan
Abdullah Al-Qari Hj. Salleh. 1998. Ensiklopedia: Rawatan Penyakit
Dengan Madu Lebah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Abdul Karim Najib al-Khatib (Dr). 1994. Rahsia Madu Lebah: Ubat Yang
Turun Bersama Wahyu. Batu Caves: Pustaka Ilmi.

Persoalan Berkaitan Madu Khaula (Sumber http://www.khaula.com.my)

1. Apa itu Madu Khaula?
Madu Khaula adalah madu asli yang diimport oleh Khaula Trading secara terus dari Republik Islam Iran. Khaula Trading memegang lesen pengedar tunggal untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara atas jenama KHAULA. Jenama KHAULA ini telah didaftarkan sebagai TM (Trademark) atau tanda perniagaan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

2. Adakah Madu Khaula ini benar-benar madu asli?
Ya, madu ini telah disahkan asli malah berkualiti Gred A hasil dari analisis dimakmal madu di Azarbaijan, Iran dan makmal UNIPEQ, UKM Malaysia. Madu Khaula dijamin mengandungi kandungan sukrosa kurang 5% dan kandungan lembapan kurang 20% dan nilai ini adalah mengatasi piawaian International Honey Comission (IHC) dan dikelaskan sebagai Madu Gred A. Pengusaha Madu Khaula, Sabalan Shahd Co, Azarbayjan, Iran memiliki proses kawalan mutu madu (Quality Control) yang ketat sebelum diizinkan untuk eksport ke luar negara seperti UK, Oman, Yaman, Arab Saudi dan Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pihak pengusaha ada menghantar sijil pengesahan analisis makmal setiap kali shipment Madu Khaula.

3. Apakah perbezaan antara Madu Khaula ini dengan lain-lain madu?
Madu ini mempunyai rasa yang harmonis, lembut, pekat dan mempunyai aroma tersendiri di mana dengan aroma dan rasanya itu, kanak-kanak sekalipun sukakannya. Di samping itu, madu ini dihasilkan oleh lebah-lebah yang dijinakkan di kawasan pergunungan yang mempunyai iklim 4 musim dan berbeza dari iklim di Malaysia yang sentiasa panas dan lembap sepanjang tahun. Perbezaan iklim ini mempengaruhi jenis tumbuhan dan bunga yang tumbuh di mana lebah-lebah ini akan mengambil manisan mereka.

4. Bagaimanakah cara madu ini dibungkus/dipekkan?
Madu ini dikeluarkan dalam 2 jenis iaitu yang mempunyai sarang lebah dan tanpa sarang lebah. Berat setiap botol adalah lebih kurang 1300g atau 1.3kg termasuk botol (berat botol 300g). Madu ini menjalani proses pensterilan dan pembekuan untuk mencegah bakteria semasa proses pembungkusan. Ia dijamin selamat dari bakteria.

5. Mengapa Madu Khaula ini tidak boleh disimpan di dalam peti ais?
Madu paling baik disimpan dalam suhu lebih kurang 20 darjah Celsius.Madu ini mempunyai sifat higroskopis iaitu berupaya menyerap lembapan dan cairan dan ini baik bagi penggunaan mengawal kanak-kanak yang kencing semasa tidur. Madu ini juga membantu untuk tidur yang lebih nyenyak kerana sifat sedatifnya (menenangkan saraf) yang lembut. Madu juga mempunyai sifat laksatif yang ringan. Apabila madu disimpan di dalam peti ais, sebahagian dari sifat dan keupayaan semulajadinya akan berkurangan dan akan menyebabkan nilai perubatannya turut berkurang. Adalah satu perkara yang merugikan jika ini berlaku sedangkan madu ini tidak pun akan menjadi rosak jika disimpan di tempat yang biasa kita menyimpan gula dan garam. Asal sahaja kita tidak membiarkan ia terdedah kepada udara dan serangga.

6. Ada orang mengatakan madu asli tidak akan didekati oleh semut?
Kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali. Madu mengandungi manisan/gula. Walau bagaimanapun manisan/gula ini tidak sama dari segi bentuk/struktur semulajadinya. Gula madu tidak sama dengan gula tebu (sukrosa). Gula madu terdiri dari Dekstrosa dan Levulosa dalam sekitar (75-83%). Dekstrosa boleh segera diserap ke dalam darah manakala Levulosa lebih lambat sedikit bagi mengawal keseimbangan gula dalam darah. Oleh yang demikian adalah mustahil sama sekali semut tidak mendekati madu ini.

Sebenarnya fenomena ini berlaku kerana kelainan sifat madu antara Madu Khaula dan madu tempatan. Kandungan sulfur dan kuprum yang lebih tinggi dalam madu tempatan menyebabkan madu ini bersifat panas, justeru itu semut yang mempunyai deria sensitif tidak akan mendekati madu tempatan. Manakala Madu Khaula bersifat ‘tidak panas’ maka semut akan mendekati dan jika dicampur dengan telur maka telur juga tidak akan membeku di dalam Madu Khaula.

7. Apakah kelebihan Madu Khaula berbanding gula dalam bentuk lain?
a. Madu tidak mengganggu saluran pencernaan.
b. Mudah dan cepat diasimilasi (proses menukarkan makanan berzat kepada tisu hidup).
c.Cepat memenuhi permintaan tenaga.
d.Meningkatkan kemampuan para olahragawan dan orang-orang lain yang memerlukan tenaga baru dalam waktu yang relatif singkat.
e. Dari segala bentuk gula yang ada, madu merupakan yang paling mudah ditangani oleh ginjal.
f. Mempunyai kesan laksatif ringan dan bersifat semulajadi.
g. Memiliki nilai sedatif yang menenangkan tubuh.
h. Mudah didapati.
i. Secara relatif ia tidak terlalu mahal.

8. Mengapakah Madu Khaula ini lebih baik dimakan begitu sahaja tanpa dicampur ke dalam air?
Madu secara semulajadinya telah dijadikan Allah untuk diminum terus kerana ia telah dicernakan di dalam perut lebah terlebih dahulu. Apabila dicampur ke dalam air, tentu sekali sifat semulajadinya akan terjejas atau menjadi cair khususnya dari segi nilai perubatannya. Oleh yang demikian dicadangkan bagi orang dewasa dan kanak-kanak, minumlah madu secara terus mengikut sukatan yang dicadangkan manakala bagi bayi dicadangkan madu tersebut dicampur sedikit air untuk memudahkan proses pengambilan. Khaula Trading juga telah menyediakan risalah berkenaan cara pemakanan Madu Khaula berdasarkan testimoni
pengguna yang telah sembuh setelah mengikut cara yang disyorkan itu.

9. Apakah kegunaan sarang lebah yang ada dalam Madu Khaula?
Khaula Trading memasarkan 2 bentuk madu. Salah satu mengandungi sarang lebah. Sarang lebah digunakan khusus untuk mengubati gangguan-gangguan tertentu pada saluran pernafasan. Ia baik bagi pengidap hidung tersumbat akibat alahan, sinusitis dan penyakit akibat gangguan saluran pernafasan. Ia bagus dikunyah begitu sahaja sebesar ibu jari sehingga sarang itu mengecil dan buangkan sisanya. Amalan pengambilan madu akan membantu pengidap penyakit tersebut menghirup udara segar melalui hidung dan bukan melalui mulut! Sila baca Buku DC Jarvis (MD), Bab 9 untuk maklumat lanjut.

Harga Madu Khaula:
1. Khaula As-Syiffa’ (Tanpa Sarang) RM 70.00
2. Khaula As-Syffa’ + At-Thorim (Bersarang) RM 75.00

Jadual Bayaran Gaji Kakitangan Awam 2010

Keputusan PMR Diumumkan 24 Dis

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada 24 Disember ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos.

Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

— BERNAMA

Guru bukan sekadar mendidik

Sumber: Utusan Online 07/12/2009

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan ‘Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka’, adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan ‘1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Erti Sebenar Guru Cemerlang

Sumber: Utusan Online 3 Disember 2009

Erti sebenar guru cemerlang

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.